BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Friday, 22 July 2011

~BUMI : FLORA & FAUNA~


Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), penerapan pertimbangan alam sekitar dalam perancangan dan pembangunan dipertingkatkan. Usaha ini membolehkan pelaksanaan pengurusan alam sekitar dan sumber asli yang lebih bersepadu dan menyeluruh. Keupayaan institusi dan rangka kerja kawal selia diperkukuh serta pendekatan dan instrumen perancangan baru diperkenal. Usaha mempromosi pembangunan mampan telah menempatkan Malaysia di kedudukan ke-38 di kalangan 146 negara di dunia dan kedua di Asia dari segi kemampanan alam sekitar1. Di samping itu, Kajian Indeks Prestasi Alam Sekitar2 meletakkan Malaysia di kedudukan kesembilan daripada 133 negara dari segi usaha untuk mengurangkan tekanan persekitaran ke atas kesihatan manusia dan memelihara daya hidup ekosistem.


  Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), selaras dengan prinsip kesembilan3 Islam Hadhari, penjagaan alam sekitar akan terus digalakkan untuk memastikan keseimbangan antara keperluan pembangunan dengan alam sekitar dikekalkan. Tumpuan yang lebih diberi kepada langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan negatif ke atas alam sekitar di punca, mempergiat usaha pemuliharaan dan mengurus sumber asli secara mampan. Usaha memupuk kerjasama lebih rapat di kalangan pihak berkepentingan untuk menangani isu alam sekitar akan diberi penekanan. Penggunaan instrumen perancangan alam sekitar seperti penilaian impak alam sekitar (EIA), penilaian strategik alam sekitar (SEA), analisis kos faedah, instrumen berasaskan pasaran dan pengauditan alam sekitar akan diperluas untuk menilai dan mengurangkan impak akibat aktiviti pembangunan. Di samping itu, penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan dipergiat untuk terus menyokong pengurusan alam sekitar dan penggunaan sumber asli secara mampan. Usaha menambah baik perlindungan alam sekitar dan pemuliharaan sumber asli akan menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup. Dalam tempoh RMKe-8, penekanan diberi untuk menambah baik kualiti alam sekitar melalui pengurusan yang lebih mantap ke atas beberapa aspek yang diberi tumpuan utama, khususnya kualiti air dan udara, pengurusan sisa pepejal serta penggunaan teknologi bersih. Dari segi pengurusan sumber asli, langkah pemuliharaan dan penggunaan mampan diperkukuh, terutamanya untuk sumber biodiversiti, hutan dan air. Dasar Alam Sekitar Negara yang menggaris strategi untuk menggerakkan hala tuju pembangunan negara ke arah pembangunan mampan telah dilancarkan pada tahun 2002. Pada tahun 2004, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang baru ditubuhkan dengan menggabung 10 agensi alam sekitar dan sumber asli di bawah satu pentadbiran untuk memudahkan pendekatan pengurusan alam sekitar dan sumber asli yang terselaras dan komprehensif. 

 

Pengurusan Alam Sekitar

  Dalam tempoh Rancangan, kualiti udara kekal di tahap baik hingga sederhana seperti ditunjuk oleh Indeks Pencemaran Udara (API). Walau bagaimanapun, terdapat kejadian kemerosotan kualiti udara di Lembah Klang, Selangor dan Seberang Perai, Pulau Pinang, disebabkan peningkatan tahap kepadatan ambien ozon dan habuk terampai dari kenderaan bermotor, perindustrian dan pembakaran terbuka serta sulfur dioksida dari aktiviti perindustrian. Kejadian jerebu dari punca merentasi sempadan menjadi fenomena tahunan di beberapa kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia dan Sarawak. Sehubungan ini, usaha dua hala diambil bagi mengenal pasti dan menangani punca jerebu yang merentasi sempadan. Langkah juga diambil untuk mengurangkan kejadian jerebu daripada punca domestik dengan penggubalan Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti-Aktiviti Yang Diisytiharkan) (Pembakaran Terbuka) pada tahun 2003.

  Punca bergerak kekal sebagai sumber utama bahan pencemar dari segi pelepasan karbon monoksida dan nitrogen oksida. Beberapa langkah diambil untuk mengurangkan pelepasan bahan pencemar daripada punca bergerak. Pada tahun 2004, Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Motosikal) 2003 telah diwarta. Langkah juga diambil untuk menggubal 

undangundang bagi mengurangkan kandungan sulfur dalam minyak diesel daripada 0.3 peratus kepada 0.05 peratus. Loji jana kuasa merupakan punca utama pelepasan sulfur dioksida, diikuti kilang dan punca lain seperti hotel dan premis komersil. Dari segi habuk terampai (PM10), punca tetap termasuk industri dan loji jana kuasa, menyumbang hampir 90 peratus daripada keseluruhan pelepasan. Punca utama pencemaran air sungai adalah pembuangan kumbahan domestik, bahan pencemar daripada industri berasaskan pertanian, larian air dari kerja-kerja tanah dan pembersihan kawasan serta pembuangan efluen dari aktiviti perkilangan. Usaha untuk mengurang dan mengawal pembuangan air tercemar dari sektor domestik tertumpu kepada kenaikan taraf loji rawatan kumbahan sedia ada dan membina loji baru. Dalam fasa pertama Projek Kumbahan Kebangsaan, empat loji rawatan kumbahan dan kemudahan rawatan kumbahan berpusat telah dibina. 
Di samping itu, 825 loji rawatan kumbahan dinaik taraf dan jumlah rangkaian rawatan kumbahan yang disenggara meningkat daripada 9,240 kilometer pada tahun 2000 kepada 14,560 kilometer pada tahun 2005. Langkah ini mengurangkan beban keperluan biokimia oksigen dalam sungai dan hasilnya bilangan sungai tercemar berkurang. Kualiti Air Marin. Dalam tempoh Rancangan, kualiti air marin bertambah baik dari segi tahap kandungan arsenik, kuprum, Escherichia coli (E.coli), merkuri dan pepejal terampai. E-coli kekal sebagai pencemar utama air marin. MUKASisa Pepejal. Jumlah sisa pepejal yang dijana di Semenanjung Malaysia meningkat daripada 16,200 tan metrik sehari pada tahun 2001 kepada 19,100 tan metrik sehari pada 2005 atau secara puratanya 0.8 kilogram per kapita sehari. Sisa pepejal di Malaysia secara purata terdiri daripada 45.0 peratus sisa makanan, 24.0 peratus plastik, 7.0 peratus kertas, 6.0 peratus besi, 3.0 peratus kaca dan bahan lain. Walaupun terdapat usaha bersepadu melalui Kempen Kebangsaan Kitar Semula untuk menggalakkan penggunaan semula, pengurangan dan pengitaran semula (3Rs) sisa pepejal, namun jumlah yang dikitar semula masih kurang daripada 5.0 peratus. Dalam tempoh Rancangan, Kerajaan telah membina dua tapak pelupusan sanitari di Seelong, Johor dan Bukit Tagar, Selangor, dan sebuah stesen pemindahan di Taman Beringin, Selangor.

Pengurusan Sumber Asli 

  Bagi mempertingkat lagi perancangan guna tanah bersepadu, Majlis Perancangan Fizikal Kebangsaan ditubuh pada tahun 2003 dan Pelan Fizikal Negara (PFN) 2005-2010 diguna pakai. Di samping itu, garis panduan untuk memelihara dan memulihara kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) dibangunkan. Sejumlah 86 pelan rancangan tempatan dan 14 pelan rancangan struktur yang menerapkan pertimbangan alam sekitar dan pemuliharaan sumber asli telah disediakan. Selain itu, sebanyak 35 piawai dan garis panduan pembangunan mengenai alam sekitar, perumahan, pengangkutan, guna tanah, industri dan persekitaran perbandaran juga telah dikeluar dan dilaksana untuk menambah baik perancangan dan pembangunan bandar. Kerajaan mengguna pakai kaedah Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM) untuk mengoptimumkan pengurusan sumber air serta menggubal Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Langat, Selangor. Satu kajian sumber air bawah tanah di negeri Johor, Kedah, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak dan Selangor disiapkan pada tahun 2002. Garis panduan untuk memasang sistem tadahan dan penggunaan air hujan juga diperkenal.

Bilangan kawasan perlindungan juga meningkat daripada 37 kepada 40 dengan penubuhan Taman Negeri DiRaja Belum di Perak, Taman Negara Pulau Pinang dan Taman Warisan Selangor. Berikutan ini, keluasan kawasan yang dilindungi meningkat kepada 5.36 juta hektar atau 16.3 peratus daripada keluasan tanah negara. Di samping itu, kawasan tanah lembap Tanjung Piai, Sungai Pulai dan Pulau Kukup di Johor, diisytihar sebagai tapak RAMSAR. Habitat kritikal lain seperti koridor hidupan liar di Gunung Bintang Hijau di Kedah-Perak dan Endau Rompin di Johor-Pahang serta kawasan paya air tawar dan tasik juga dikenal pasti untuk pemuliharaan. Bank genetik untuk spesies yang hampir pupus dan program pembiakan ex-situ ditubuhkan untuk melindungi spesies yang hampir pupus dan membantu penempatan semula spesies terancam.